Sunday, December 20, 2015

Pengalaman Bersalin Anak Pertama

Assallammualaikum..
Amboi, lama senyap, tup tup keluar cerita pasal bersalin eh. Hehehe :)

Actually, tak ramai orang tahu pun pasal mengandung ni. Bukan tak nak share berita gembira. Tapi belajar dari pengalaman lepas. Sedih masa pertama kali keguguran masih terasa. Tu yang sepanjang pregnant kali kedua, aku dan husband pakat senyap je dulu. Mak, abah, dan keluarga mertua pun baru bagitahu masa dah 27 weeks gitu. Akak - akak dekat opis pulak masa kandungan dah 34 weeks. Dorang yang dekat opis yang dah tahu memang terkejutlah sebab selama berbulan-bulan aku macam biasa jek, baju pregnant pun tak pernah pakai. Hihihi. Kantoi pun sebab dah 34 weeks perut dah nampakkan.Tak de niat nak sorok sangat.

Aku bersalin masa kandungan 35 week 5 day. Di mana sepatutnya masa kandungan 36 week aku ada appoinment dengan doktor O&G dekat Hospital Sungai Buloh dan KKiA sebab baby breech dan tekanan darah aku tinggi. Bila ingatkan balik, macam tak percaya jek.

Seminggu lagi nak exam, aku perasan ada keluar macam jelly sikit, masa tu tak terfikir pun nak bersalin awal, ingatkan sebab stress nak exam. Memang banyak kali cakap dengan baby jangan keluar dulu sebab tengah final exam. Lagipun husband tengah outstation. Tapi alhamdulillah sangat sebab sepanjang exam, husband tunggu dekat luar dewan.

Hari khamis, mak dengan abah datang dari kampung, malam pulak husband balik dari outstation.
Hari sabtu, masa tengah jawab paper last untuk semester may, rasa macam baby tendang kuat. Pertama kali rasa kuat gitu. Terkejutlah jugak. Keluar dari dewan exam, bagitahu husband. Dah mula rasa tak sedap hati, tapi aku buat senyap jek. Petang sabtu tu, ajak mak dengan abah makan tom yam dekat kampung baru. Beriya-iya aku makan sebab hati merasakan hari rabu nanti lepas jumpa paed confirm aku kena tahan wad. Sabtu tu pun ada cakap kat husband rasa tak sedap hati sebab husband nak pergi outstation hari isnin. Hehehe.

Ahad pagi tu aku rasa macam kena cerry berry. Bangun dari tidur, tulang belakang dah sakit. Lepas pergi toilet mak tegur sebab tengok perut besar sebelah kanan. Mak usap-usap sambil tanya bila baby nak keluar. Ye laa, mak dengan abah nak balik kampung, nanti aku tinggal sorang-sorang je.

Lepas mak usap perut tu, aku duduk dekat sofa. Tegok tv sambil-sambil aku tengah fikir nak ajak husband pergi baby fair dekat Shah Alam. Tiba-tiba rasa macam nak terkencing. Padahal, aku baru je lepas keluar dari toilet. Aku terbatuk, ada rasa macam terkencing sikit. Baru nak panggil mak, pastu rasa macam makin banyak air keluar. Aku dah mula kalut. Dalam kalut tu aku cuma terfikir nak lari pergi toilet. Haih!

Masa dekat toilet tu, memang banjirlah. Mak bagi kain suruh tukar. Pagi tu dalam pukul 8.00 pagi dah gerak pergi hospital sungai buloh. Mak suruh pergi cepat-cepat sebab aku belum full term tapi air ketuban dah pecah. Huhuhu

Sampai dekat kaunter, orang daftar pagi tu dah lah ramai. Terpaksa tunggu turn. Sampai turn, aku bagi buku pink, nurse suruh tunggu, rileks-rileks je dia isi dalam buku besar tu. Lepas tu dia bagi ada beberapa borang suruh isi. Aku dekat kaunter dengan mak. Abah tunggu dekat kerusi, husband pergi park kereta. Nurse tu suruh isi borang menunggu wad yang 24 hingga 48 jam tu. Masa tu aku dah terdiam sebab selama ni memang aku pernah dengar yang dekat HSB katil tak cukup. Aku bawak borang tu keluar, tunggu husband dekat kerusi luar. Ingat nak bincang dengan husband nak pergi hospital lain sebab tak nak duduk dekat kerusi. Bila husband sampai, tunjuk borang menunggu kekosongan wad tu dekat husband, cakap dekat dia nak pindah hospital lain. Either selayang atau kl. Husband tak bagi. Husband ajak masuk balik tanya nurse. Lepas husband bagitahu kandungan aku baru 35 week dan air ketuban dah pecah, cepat-cepat nurse suruh isi borang. Aku dikecualikan isi borang menunggu katil tu sebab kandungan aku berisiko sebab breech, aku ada hypertension (PIR) dan air ketuban pecah awal.
Masuk dalam dewan bersalin, kena duduk kejap dekat kerusi. Nampaklah beberapa orang yang tengah duduk tahan contraction. Dengar orang jerit-jerit meneran. Beberapa minit lepas tu, nurse panggil, ambil sample air kencing, tukar baju pink lepas tu dapat katil. Tunggu dalam setengah jam, datang doktor cek bukaan. Masa ni lah tahu apa tu mulut itik. Sungguh aku akui, benda tu memang sakit sampai rasa nak tendang je doktor tu. Hahaha.

Masa doktor tu cek guna mulut itik, masih tak ada lagi bukaan. Rasa sakit contraction pun tak ada. Lepas dah cek bukaan, datang pulak sister dengan nurse cucuk untuk matangkan paru-paru baby, cucuk dekat peha. DEXA nama dia rasanya. Masa nurse cucuk tu pukul 10 pagi. Second dose aku kena cucuk pukul 10 malam nanti pulak. Nurse cakap, cucuk DEXA tu memang sakit. Berkali-kali dia mintak maaf sebab terpaksa cucuk. Aku redha sebab lagi risaukan baby.

Lepas dah cucuk matangkan paru-paru tu, baru aku mula rasa sakit sikit-sikit. Dalam pukul 10.30 pagi sister cakap tengah tunggu katil sebab nak tolak aku pergi wad. Sambil nak menunggu katil kosong, aku mintak kebenaran nak keluar jumpa husband. Lapar sebab pagi tu aku tak sempat sarapan. Pergi dekat ruang menunggu, tengok husband, mak dan abah tengah tunggu. Rasa bersalah pulak sebab mak dengan abah terpaksa tunggu dekat situ dekat 3 jam tanpa makan. Husband pergi bawak mak dengan abah makan dekat cafe, aku pulak tunggu beg. Lagipun aku tak berani nak jalan jauh, takut nurse panggil.

Balik dari cafe, husband belikan nasi ayam. Gigih aku makan cepat-cepat sebab lapar sangat. Tengah makan, nurse panggil sebab nak hantar masuk wad. Nurse pasang tag dekat tangan, suruh cakap dekat husband tunggu dekat wad 6B. Aku masuk balik dalam dewan bersalin, tengok dah ada nurse tunggu nak hantar ke wad. Merasalah naik kerusi roda hantar ke wad. Masuk dalam lif, aku tanya dekat akak yang tolak kerusi roda aku tu kalau ketuban pecah memang rasa sakit ke? Dia boleh cakap tak tahu. Sabar je lah! Actually, aku dah mula rasa sakit tu datang kejap-kejap masa tengah makan nasi ayam. Jujur, aku langsung tak tahu macammana rasa contraction.

Sampai dekat wad, tengok husband, mak dan abah tengah tunggu dekat pintu masuk. Lepas dah daftar, nurse hantar dekat katil. Teruja dapat katil sebelah tingkap, dekat pulak dengan toilet, selesanya wad tu sebiji macam wad dekat Hospital Pantai Kuala Lumpur masa aku operation buang batu hempedu tahun lepas.

Masa dekat katil, aku banyak kali rasa sakit perut. Sampaikan masa sakit-sakit tu aku gigih download application yang kira contraction tu. Setiap kali sakit aku catit. Sampailah aku rasa selang masa sakit tu makin kerap dan kuat. Setiap kali nurse datang cek tekanan darah, setiap kali tu jugak aku mengadu perut aku sakit. Bagusnya nurse dekat wad 6B tu, setiap kali aku bagitahu sakit, dia mesti pegang perut nak rasa baby. Sampai dua tiga kali buat CTG nak tengok jantung baby. Satu tahap, nurse pesan kalau dekat pad dah ada darah, bagitahu dorang. Pukul 4 petang, nurse hantar baju, topi dgn air. Nurse cakap, pagi esok aku nak kena ceazer. Aku iyekan je lah, redha. Petang tu, dalam pukul 5, sakit perut aku makin kerap, pergi toilet tengok ada darah sikit dekat pad, bawak pergi kaunter tunjuk dekat nurse, ada nurse yang suruh tolak terus pergi dewan bersalin. Ada yang suruh tunggu doktor dulu.

Dah dorang suruh tunggu doktor, aku pun tunggu. Dalam pukul 6 petang, datang dua orang doktor, seorang perempuan, seorang lelaki. Doktor perempuan tu suruh doktor lelaki tu cek CTG, kalau tak ok, suruh tolak ke dewan bersalin. Aku nampak doktor lelaki tu angguk-angguk. Lepas tu dorang blah. Dalam pukul 8, aku cakap dekat nurse yang aku rasa sakit makin kuat. Nurse datang buat CTG, lama dia tunggu, ulang-ulang kali cek. Ada sekali aku rasa baby tendang. So dekat graf nampaklah ada pergerakan, nurse panggil doktor lelaki tu suruh tengok. Sungguh masa tu aku rasa nak tendang doktor tu keluar dari tingkap. Nurse dah bagitahu suruh tolak wad bersalin, dia boleh cakap tak ada apa-apa, graf tu nampak macam ada pergerakan sebab tu penyambung kertas. Sabar je lah rasa.

Pukul 10 malam, nurse cucuk DEXA second dose lagi. Sungguh dah tak ada rasa sakit cucuk tu sebab perut aku lagi sakit. Pukul 11 malam, aku gigihkan juga makan roti dengan minum milo. Malam sampai ke pagi aku tak boleh tidur sebab melayan sakit perut yang makin kerap. Masa pukul 3 pagi, aku ada mengadu dekat nurse perut makin sakit, nurse datang cek dengan nurse senior, dorang tekan-tekan perut tapi dorang cakap tak ada rasa apa-apa. Aku redha. Dari pukul 3 sampai ke pukul 5.30 pagi aku asyik berulang ke toilet, aku dah budget, dalam pukul 5.30 pagi, aku nak mandi, aku nak cepat-cepat pergi bilik operation, perut rasa macam makin sakit. Pukul 5.30  pagi, masa nurse ambil tekanan darah, aku boleh cakap dekat nurse gini..

"Saya rasa sakit perut macam nak berak"

Nurse suruh sabar dan gosok-gosok perut. Aku tak henti-henti tengok jam, tak sabar nak tunggu subuh. Pukul 5.40 pagi macam tu, aku pergi toilet sebab rasa nak terkencing. Tengah basuh-basuh, aku terasa macam ada jari-jari kecil dalam miss V, jantung rasa macam nak meletup jek. Takut dan tak percaya berganti-ganti dengan rasa sakit. Aku duduk dekat katil. Rasa sakit makin mencucuk. Aku dah tak lalu nak jalan pergi kaunter. Nak mintak tolong katil sebelah, orang semua tengah tidur. Last solution, aku tekan button emergency tepi katil. Datanglah seorang attentdent tanya kenapa. Yang aku ingat, aku cuma cakap,

"Saya rasa macam ada benda nak keluar"

Lepas aku cakap macam tu, automatik rasa senak nak sakit sangat. Aku baring sambil pejam mata. Yang aku dengar hanyalah bunyi nurse berlari kerumun katil aku, dorang cek tengok kaki baby dah keluar. Masa ni pun rasa macam nak sepak je nurse tu sebab dia cakap jangan teran, suruh kepit sebab dorang nak tolak pergi dewan bersalin.

Dorang tolak aku masuk satu bilik ni, doktor perempuan yang petang tu tengok lepas tu cuba tolak kaki baby masuk balik. Rasa senaknya kaki baby tu kena tolak, Tuhan je yang tahu. Lepas tu nurse tolak laju-laju pergi operation theater. Bila fikirkan balik, dah rasa macam dalam filem hollywood yang kisah dalam hospital tu. Laju gila dorang tolak sambil tak bagi aku teran. Yang aku ingat, aku teran jugak sambil cakap "tak boleh, sakit"

Kesian aku tengok nurse tu berlari-lari. Dah laa semua comel-comel. Semua tension jek sebab masing-masing dah advise doktor suruh hantar aku pergi dewan bersalin tapi doktor tu tak nak. Last terpaksa juga dorang tolak aku ke dewan bedah sebab kes aku under lpns, takut nanti orang dekat dewan bersalin pulak marah. Cam hampeh je doktor tu, sampai bila-bila aku ingat muka doktor yang nama Daniel tu. T___T

Sampai dekat dewan bedah, doktor singh perempuan tu pulak cuba nak masukkan balik kaki baby. Tuhan je yang tahu rasa dia macammana. Dorang tolak aku masuk satu bilik operation, suruh aku baring atas katil besi untuk operation tu sambil tak bagi aku teran. Kuasa Allah, drip air asal yang doktor pasang masa aku check-in tak boleh guna, tiga empat kali dorang cucuk nak cari salur darah tetap tak jumpa, dorang suruh sign borang untuk bedah, menggigil aku sign sebab sakit contraction makin kuat, kaki baby makin terkeluar. Last choice, doktor singh tu buat keputusan untuk aku bersalin normal sebab dah tak sempat nak ceazer. Laju-laju dorang pasang stand dekat kaki. Sekali teran, baby dah keluar separuh, nurse suruh aku teran kuat-kuat untuk tolak kepala baby. Allah... Part tu memang menakutkan. Aku takut baby tersangkut. T__T

Alhamdulillah, baby keluar dengan selamat. Doktor letak atas perut, aku blur sebab baby tak menangis macam yang aku tengok dekat youtube tu. Bila tengok baby bergerak, hilang sikit rasa risau, tapi kesian tengok baby sebab baby kecik sangat. Nurse ambil baby lepas tu letak atas tray, masa tu laa aku dengar suara baby, kecil je suaranya, nangis pendek-pendek. Lepas tu nurse ambil bawak dekat bilik kecil untuk timbang berat dan dibersihkan. Lepas tu nurse tunjuk cik bebird baby. T__T

Baby kena hantar pergi nicu sebab berat 1.69kg, lahir pramatang dan breech. Lepas uri dah keluar, nurse cucuk lagi dekat peha untuk kecutkan rahim pulak. Lepas tu bermula laa sesi menjahit tanpa ubat bius. Kemain sakit rasanya. Banyak kali aku kena marah dengan doktor tu sebab tak bagi kerjasama, dah lah nak mintak ubat bius tak bagi. Haih!

Lepas dah jahit, dorang tolak aku keluar, letak dekat ruang menunggu untuk hantar balik dekat wad. Masa ni aku dah mula mengantuk, rasa penat sangat. Aku tertidur sampai pukul 8 pagi. Masa dorang tolak naik wad, nampak husband tengah tunggu dekat kerusi menunggu. Rasa nak menangis tengok husband. Sampai dekat katil, tak lama lepas tu husband sampai, bagitahu dah bersalin, tengok air mata husband jatuh. Automatik rasa nak nangis lagi. Husband terkejut sebab aku deliver normal dalam bilik bedah. Rasa bersyukur sangat sebab dapat bersalin normal, tanpa sebarang ubat-ubatan. Bersyukur juga sebab baby keluar tanpa sebarang masalah. Cuma terkilan sebab kaki baby lebam teruk dan bengkak sebab doktor tu cuba masukkan balik. Rasa nak menangis tengok kaki baby masa dekat nicu.

Bagi aku pengalaman pertama kali bersalin ni sangat bermakna. Besar kuasa Allah, bersyukur sangat sebab Allah permudahkankan proses bersalin. Bersalin normal, baby breech keluar kaki dulu, dalam dewan bedah, atas katil operation, sungguh bukan semua orang bertuah dapat rasa semua tu. Syukur Alhamdulillah.

Till then.

Thursday, November 26, 2015

Cuti dah habis.

Assallammualaikum..

Sedar tak sedar, sekejap je dah habis cuti bersalin tiga bulan. Cepat sangat masa berlalu. Rasa macam tak puas je cuti.

Hari nih hari kedua dekat opis. Sedih je rasa teringat-ingat dekat anak. Even hantar rumah kakak iparpun, tetap jugak rasa risau. Sepanjang tiga bulan sama-sama dengan baby. Bila berjauhan rasa lain jek. Haih.

Rasa bersalah pada baby bila pagi-pagi kejutkan baby, tukar pampers, tukar baju, bagi susu, lepas tu nak hantar pergi rumah kak ipar. Nampak muka nak menangis baby, lagilaaa rasa luluh hati. Setiap masa whatsapp husband nak ajak balik.. T_T rindu!

Serius, dah tak sabar sangat nak tunggu weekend, nak luangkan masa dengan baby. Nak layan semua kerenah dia, nak ada kat sisi baby je ni. Erm.. Hanya mak mak je yang faham perasaan tu kot. Hati ni fragile je bila hantar dan ambik baby. Tengok muka redha dia, lagi touching.

Ni baru lepas AGM tanye pasal baby. Laaggiii rasa nak balik jek. Ye laa, mahu orang tak tanye, entah bila mengandungnya, tup tup hilang tiga bulan jek. Sampaikan mak cik cleaner pun dok tanya. Tak sangka sungguh, lepas je seminggu bagitahu kakak-kakak ofis, weekend elok lepas exam baby keluar.

Alhamdulillah. Rezeki Allah. Now, rindu gila kat baby!

Till then.

Wednesday, November 11, 2015

Addicted Green Tea.

Assallammualaikum.
Hai. Lama gila dah tak update apa-apa dekat sini. Hehehe. Biasalaa, busy dengan macam-macam.
Lately ni, aku addicted gila dengan big cup coffee. Entah bila mula naiknya benda ni area perak ni entah. 

Hari tu, lepas berpantang, saja je ingat nak cuba sebab nampak orang minum macam sedap jek.
Well, sekali cuba... Memang sedaaappppp pun. Setakat ni aku dah cuba beberapa perisa dekat beberapa stall. Ada yang best, ada yang so so je sekadar ikut trend.

Macam-macam perisa ada. Tapi entah kenapa, aku jadi addicted dengan ice green tea. Serius sedap. Melting je rasa. Hahaha.



Dari ipoh sampai ke manjung stall big cup coffee ni dah jadi trend. Kengkonon hipsterlaa sangat. Harga dia pun boleh tahan hipster, rm4.50-rm5 satu big cup tu. Dekat area KL tak surelaa ada ke tak. Harap-harap ada laa :)

Korang dah cuba? Boleh suggest perisa apa lagi yang best?

Till then!

Friday, July 24, 2015

Kisah pjj student.

Assallammualaikum (n_n)V

Hai... selamat hari raya! actually, update pagi-pagi buta ni hanyalah disebabkan tuan blog stress yang amat. Haih!

Since raya kedua sampailah pagi ni, gigih nk siapkan assigment. Assignmnent pulak programming. Memang mengundang sungguhlaa duk buat kerja last minutes gini. Nyesal pun ada sebab buat lambat-lambat. Tapi tu laa, nak buat macammana, sibuk memanjang.

Pagi ni serius rasa nak nangis, rasa give up semua ada. Down gila dah tengok coding. Asyik terfikir je apasal hari tu tak amek degree senang-senang? ambek baking ke, masak-masak ke... apasal pergi amek programming. Lepas tu rasa down sampai nak tarik-tarik rambut. Alahai...


Soalan nampak senang jek. Tapi tu laa, stress je bila tengah syok syok run coding, tiba2 ada je masalah datang. Dengan software tak stable, dengan google buat hal. Memang menguji kesabaran sungguh :(

Takpelaa, nak buat macammana, nak merungutpun tak baik. Ambil benda positif je laa, belajar tu pun satu ibadah. T_______T

Semoga lulus laa subjek semester ni. Cukup-cukup makan pun jadilaa. Redha je laa, janji semua usaha sendiri. Deadline tinggal 2 hari, ada lagi satu assigmnent database pending. Weldone Syida, buatlaa selalu. Haih!!

Sekian luahan saya. T_____T




 Till then~

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan day 1

Assallammualaikum (n_n)V

Hai..
Selamat berpuasa. Apa khabar? Tengah kerja ke tu? kita cuti hari ni. hehehehe.. semangat nak sambut puasa katanya. Masa puasa ginilah duk rajin nak update blog eh. Padahal banyak lagi benda nak buat. Haih!

Puasa kali ni berazam nak rajin-rajin masak lauk sahur dan berbuka. Al maklumlaa, gst katanyeeee. Lagipun boleh dibayangkan harga makanan kat bazaar ramadan nanti cam mana. Sebagai permulaan, meh kite tempek lauk sahur tadi. :p
Pagi tadi masak simple je untuk sahur. Masak ayam goreng, sayur kailan ikan masin, ikan pekasam goreng dengan sambal tumis cili padi jek. Tak sempat pun nak snap gambar yang proper sikit. Dah senduk lauk, dah nak makan, baru teringat nak snap. Hehehe.

Ni tengah fikir nak masak apa pulak untuk lauk berbuka nanti. Harap-harap tahap rajin tu kekal hendaknya. :)

k, bye!

Till then~


Tuesday, June 16, 2015

Entry Kombo

Assallammualaikum (n_n)V

Hai!
Fweh, lama dah tak update apa-apa. Sungguhlah jadi kenyataan, memang sebulan sekali je laa pun aku duk update blog. Pemalas yang amat nih. Apa nak jadilah eh. Hehehehe.

Sedar tak sedar je, sekarang dah bulan enam, Lusa dah puasa. Tak tahu kenapa, rasa cepat sangat-sangat masa bergerak. Rasa tak terkejar je. T_T


Pasal Study.
Macam hari-hari sebelumnya, tak ada benda lain nak bagitahu. Melainkan... Busy! cehh... macamkan orang lain tak busy eh? Semester ni punyalah aku pemalas. Masuk je bilik bacaan, bukak je pc, taip sikit-sikit, automatik mengantuk gila. Tarikan katil tu lagi hebat dari assignment. Risau je rasa bila fikirkan pasal assignment. Ngeri bila fikirkan balik pasal buat programming last minutes semester lepas. Tak nak sangat berulang. Dah lah semester ni semua kelas lone ranger je. Haih!


Ada orang tanya, senang tak study PJJ? Ko ghase? aku mampu senyum jek. Tapi, tengok dari riak aku, orang mungkin faham jawapan dia. Well, mungkin mudah kot kalau ambil subjek yang perlu baca-baca jek. Tapi, kalau subjek programming dan networking macam kos yang aku ambil ni, aku tak berani nak kepochi cakap senang. (read: susah gila) Kadang-kadang rasa give-up je tengok programming. Terpaksa google macam-macam jenis programming, Bab-bab programming ni, budak IT terror laa, aku bukan budak IT, aku dulu masa diploma cuma budak Electronic Engineering jek yang tercampak bidang projek it ni. (Alhamdulillah)

Pasal Life.
Entahlah, tak tahu apa nak cerita. Makin dah dewasa ni, macam makin banyak benda bermain dalam kepala. Sometimes, bila duduk jauh ni, banyak sangat benda dalam fikiran. Sampai rasa macam aku ni over thinking sangat. Risaukan mak abah lah yang selalunya berganda-ganda. Sampai satu masa, ikutkan hati, nak je call mak selang waktu sejam. Padahal, hari-hari call mak pun tetap rasa risau, rasa takut, rasa macam-macamlah!

Lain pasal life, makin penat bila hari-hari menghadap jem. Alahai... KL ni dengan jem memang tak boleh dipisahkan. Kadang-kadang bila hubby outstation tu mula laa aku jadi moody. Tambah bila hubby kena pergi outstation bersambung-sambung. Macam last month laa, dari Sabah, lepas tu bawak ke Pantai Timur, lepas tu pergi perlis, baru je balik dari Perlis sehari, pergi perlis balik. Kira-kira sebulan lebih jugaklah kena drive sendiri. Punch kad aku pun dah macam apa daa, asyik warna merah je sebab keluar awal. Ye laa, punch in pukul 6.30 pagi, punch out pukul 5.00 petang. Memang cantiklaa. Nak bising pun tak boleh sebab dah memang kerja hubby macam tu, sabar je laaaa, kalau dekat dengan kampung, boleh jugaklah balik kampung. T__T

Pasal Novel,
Cerita pasal novel, alhamdulillah semua novel aku dah ada dekat pasaran. Sekarang ni pulak tengah fikir pasal manuskrip baru. Idea ada, cuma tu laa, malas. Balik kerja, bukak je pc, nak taip manuskrip teringatkan pulak assignmnent. Tengah taip assignment, terpandangkan rumah, terus pulak fikir nak kemas rumah, sampai husband pun pelik sebab aku asyik cakap rumah bersepah walaupun pada mata orang lain tak ada pun sepah macam mana pun. Haih!



Semalam dapat whatsapp dari publisher tanya pasal manuskrip baru. Hamekkk... memang gerunlah bila tengok nama publisher appear dekat whatsapp. Hahaha. Tak tahulah aku mampu ke tak nak kejar dateline yang aku created sendiri ni. Dorang tak paksa, tapi itulah... aku dah janji. Tak baik betul perangai nak biarkan orang tunggu eh :p






Lepas tu, hari tu ada editor whatsapp nak suruh pergi event kat NU Sentral. Tu pun aku tolak sebab clash dengan waktu kelas. Memang rasa agak bersalah. Tapi nak buat macam mana, tak semua benda boleh dikejar dalam satu masa. *sedar diri*

Ada orang tanya, apa perasaan dah jadi novelis? entahlah... tak tahu nak jawap apa. Rasa biasa je kot, kalau datang event masih malu-malu sebab ada novel biasa-biasa je kan. Lepas apa yang dah aku lalui sebelum ni masa mula-mula hantar novel dekat publisher, keterujaan tu dah 50-50 jek. Tak delaa nak bangga diri. Nak naik susahkan, banyak benda kena lalui. Belum lagi ada novel, dah kena tempuh macam-macam birokrasi manusia. Well, mana ada benda mudah dalam dunia ni kan? Hehehehe ;p


Ok sampai sini je ye. Nanti-nanti aku sambung lagi. Insya-Allah :) Mohon maaf andai tersalah kata, tersilap bahasa. Selamat menyambut bulan ramadhan korang!


 Till then~


Tuesday, May 19, 2015

Semester Baru soon!

Assallammualaikum (n_n)V

Haiiii... lama gila tak update blog. Rindu je nak update sebenarnya. tapi, lately ni memang rasa malas gila. Yang tengah rajin sekarang hanyalah menghabiskan novel yang dah dua tahun terperap dekat rak tu. Haih!

Niat hati nak bercerita pasal pengalaman kat MPH dan PWTC. InsyaAllah, soon. Busy katanya. :p


Minggu lepas pergi daftar untuk semester 5. Sedar tak sedar, kejap je dah nak dua tahun belajar. Nampak macam heaven je. Tapi hakikatnya, Tuhan je yang tahu perasaan tu. Mula semester lepas dah mula run programming sendiri. Serius rasa nak menangis sangat-sangat. Sampaikan muncul banyak kali dalam kepala niat nak tukar kos. Huhuhu.

Well, siapa suruh ambil kos susahkan. Tapi, encik husband cakap, di sebabkan aku ambil kos susahlaa aku dapat tajaan tu. Erm... :(

Semester ni ada dua subjek yang ada programming. Belum pergi kelas, baru tengok assignment terus jadi murung. Haih haih.

Nak mengeluh pun tak guna. Tak apalah susah-susah dulu, InsyaAllah, akan datang baik-baik je. Bersangka baik dengan Allah. Baru ambil degree dah down, macammana nak ambil master nih??

Masa-masa sekarang ni, kalau orang tanya pasal novel, jawapan aku memang tak ada novel baru. Idea ada tapi malas nak menaip. Dalam pendrive macam-macam cerita dah created.

Lepas tu, macam-macam nasihat dah dapat dari penulis-penulis hebat. Tapi... semangat kelaut. Banyak sangat benda nak fikir. Rasa macam payah pulak sebelah kepala fikir pasal belajar, sebelah lagi fikir pasal novel. Tambah lagi penat hari-hari keluar nak pergi ofis pukul 6.30 pagi. Cehh... padahal keluar pukul 6.30 tu tetap jugak sampai ofis pukul 6.50 pagi. Ada je masa nak buat benda lain eh. Erm.. dasar pemalas sungguh eh. :p

k, nanti kte membebel lagi ye. Hehehe :)

bye!


Till then~


Tuesday, April 14, 2015

Life :)

Assallammualaikum (n_n)V

Hai awak!

Nampak gayanya, acara update blog ni akan jadi sebulan sekali lah kot. Skill nak menaip ala-ala mencurahkan perasaan pun dah ke laut.



Serius, memang dah rasa busy sangat-sangat dah ni. Mana kena belajar benda-benda baru kat opis, study yang makin rasa susah, di tambah dengan pelbagai aktiviti. Otak jadi blank kejap, penat tu dah tentu.

Ahad ni dah mula exam, next week busy ngan exam dan pesta buku. Dup dap dup dap je jantung nak jejak kaki kat PWTC nanti. Alahai...

Penat sangat rasanya ni, sampai nak taip sesuatu kat sini pun dah malas. Ditambah pula dengan faktor dah dewasa ni, rasa macam berat je nak cerita tentang life dalam blog, same goes to fb, instagram, etc etc. Rasa macam tak ekslusif pulak bila orang asyik nampak je pasal life kita.

Hahaha.

Hidup sekarang terasa pantas sangat berlalu. Rasa macam tak terkejar. Macam-macam benda jadi, macam-macam benda kena adapt. Haih!

K, nanti kte cerita lagi :)

Till then~


Monday, March 23, 2015

Kelahiran Novel Kedua :)

Assallammualaikum (n_n)V

Rindu tak?

Ececeh hehehe. Ye, sedar diri bahawa dah laaammmaaaaa gila-gila-gila tak up entry, sampaikan ada orang yang follow decide untuk un-follow. Fine *kecewa*

Dah lama dah tak taip sesuatu, makanya skill nak menaip tu dah kelaut. Mohon maaf. Ai is busy and agak sangat pemalas. Well, hari ini, dengan sedikit paksaan, dengan penuh keterujaan, nak cerita jugaakkkkkk. ;p

Actually,

Selama ni, bila masuk je kedai buku, selalu sangat keluar ayat cam ni.

"Kita teringin sangat nak tengok novel kita ada kat atas rak. Agaknya, ada tak rezeki kita?"

"Erm... tak ada pun!"

Tak kurang jugak bila pergi mana-mana pesta buku, jeling sana, jeling sini sebab nak tengok si hijau Encik Separuh jiwa. Tak de!

Perasaan? Mestilah kecewa. Kau ghase?

Sampai satu masa, disebabkan rasa loser yang menggila, rasa down, bertambah dengan pelbagai lagi rasa-rasa rempah, aku pernah cakap cam ni kat hubby,

"Kita rasa macam nak berhenti menulis!"

"Agaknya, bilalah kita nak dapat tengok novel kita kat MPH eh?

"Kita teringin sangat nak bawa abah masuk kedai buku, lepas tu tunjuk novel kita"

"Kita rasa, kita tak ada rezeki laa nak menulis."

etc, etc..

Betapa rasa loser dan down tu tak boleh nak describe. Sampaikan kadang-kadang rasa kosong je. Sampai boleh terpancul ayat-ayat negatif, :(

Tapi.....
Janji Allah tu pasti. Dengan tak dijangka, Allah bagi rezeki. Tak duga pun secepat ni sebab dorang cakap baru nak masuk penerbitan, alih-alih dapat whatsapp bagitahu novel dah terbit, pastu kena invite masuk group penulis-penulis hebat mereka.

Petang tu, bangun dari tidur, mamai-mamai capai phone, ada logo whatsapp, akukan pemalas, paling malas nak tengok whatsapp, facebook, etc etc. Just ambil phone, nak check ada misscall ke tak. Alih-alih terbaca whatsapp dari nombor tak kenal. Speechless. Terkejut. Macam tak percaya yang novel dah keluar. Esoknya tengok kat fb dorang, dah ada dah promosi, gigil-gigil tangan nak share sebab tak percaya.

Allahu,

Untuk dikongsikan kepada yang masih setia menunggu entry dari aku,


Sebenarnya, tak jangka langsung yang dorang akan guna nama Rasyidah Yusof bukan Cyda Yusof. Tapi bila fikir balik, mungkin ada hikmahnya guna saja nama penuh.


Nah sinopsis. Ada orang cakap, sinopsis pun dah macam sinetron. Hahaha. Ikutkan sajalah. Tapi apa yang aku tahu, Cerita dalam ni bukan cerita cinta, bukan kahwin paksa, jauh seratus peratus dari kisah Encik Separuh Jiwa. Ini cerita tentang kehidupan. Watak-watak yang aku selitkan pun ada relate dengan pandangan aku pada sesuatu.

Pada korang yang nak dapatkan novel Bunuh by Lejen Press, korang boleh beli dekat Lejen Press atau mana-mana kedai buku yang terpilih. Untuk novel Bunuh, aku tak jual sebab aku tak ada copy. Jujur, aku tak tengokpun lagi novel bunuh in reality. Insya-Allah, soon.










Alhamdulillah...


ps: Terima kasih sudi membaca. Dah lama tak menulis, skill bercerita pun dah kelaut. Minta maaf ye!


 Till then~